Toughbook: Tahan lasak, saringan ketat
Published on Sunday, July 28, 2013
11:30 PM //
teknologi
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
Memiliki komputer riba akan membantu kita melaksanakan tugasan harian
dengan lebih mudah, namun pernahkah anda terfikir apa akan berlaku
sekiranya perlu melakukan kerja itu dalam keadaan hujan, panas atau
berdebu?
Apa pula yang akan berlaku sekiranya komputer riba itu terjatuh dari
tempat tinggi di saat nasib kerjaya kita bergantung pada data yang
terkandung di dalamnya?Jika jenama lain, pasti ia sudah tidak boleh berfungsi dengan baik dan kita terpaksa mendapatkan komputer riba baru.
Namun,
berbeza dengan Toughbook, jenama komputer riba yang diperkenalkan
Panasonic yang mana ia mampu bertahan dan terus berfungsi walaupun
selepas hujan atau terkena tumpahan air.
Sejak mula diperkenalkan pada 1996, Toughbook begitu popular di Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Selain digunakan dalam industri pertahanan dan pembinaan, Toughbook juga dijangka akan meneroka pasaran Asia secara agresif dengan memberi penekanan kepada sektor logistik, peruncitan dan pembuatan.
Dikategorikan sebagai komputer riba tahan lasak, Toughbook tidak hanya terhad untuk penggunaan industri sebaliknya ia juga boleh digunakan individu yang memerlukan fungsi komputer ketika menjalankan aktiviti di hutan, pesisir pantai atau kawasan pembinaan.
Ketika menyertai lawatan ke kilang Panasonic di Kobe, Jepun baru-baru ini, media berpeluang menyaksikan pelbagai ujian yang dijalankan ke atas produk yang dikeluarkan merangkumi ujian ketahanan air, getaran, jatuh, tekanan, air, debu serta ujian untuk memastikan ketahanan fungsi bukaan serta kekerapan penggunaan papan kekunci.
Pengurus Besar, Pusat Produk, Bahagian Perniagaan Produk IT (ITPBD) Panasonic, Minoru Shimizu berkata, kilang berkenaan mula dibuka pada 1990, namun hanya mula menghasilkan produk pada 1991.
Menurutnya, untuk setiap kumpulan yang dihasilkan, kira-kira 500 unit akan diuji mengikut semua prosedur ujian yang ditetapkan bagi memastikan tahap kualiti terbaik.
Kilang untuk menghasilkan Toughbook hanya terdapat di Jepun dan Taiwan, namun pusat konfigurasi boleh didapati di beberapa negara antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Di kilang berkenaan, produk didedahkan dengan pelbagai ujian antaranya ujian ketinggian yang mana ia dijatuhkan sebanyak 26 kali dari ketinggian antara 76 sentimeter (sm) dan 120sm bergantung kepada model komputer.
Ia juga didedahkan dengan ujian terhadap ketahanan air iaitu IPX4 dengan curahan 1.8 liter air selama seminit dan IPX5 dengan 12.5 liter air dalam masa seminit.
Kira-kira 80 peratus kerja pemasangan komponen komputer dilakukan mesin robotik dengan keupayaan memasang sehingga 20 komponen dalam masa sesaat.
Dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 motherboard dihasilkan setiap hari.
Toughbook bukan saja menghasilkan komputer riba tahan lasak untuk kegunaan industri sebaliknya turut menghasilkan produk sama untuk kegunaan perniagaan yang dikenali di Jepun sebagai Let’s Note.
Dengan inovasi selama 16 tahun, Toughbook kini bukan lagi sekadar komputer tahan lasak biasa sebaliknya sudah melalui pelbagai penambahbaikan dengan model terbaru yang memiliki tujuh ciri utama.
Ia antara lain mengetengahkan tujuh teras iaitu paparan yang jelas walaupun melakukan kerja di kawasan yang terdedah dengan cahaya, tahap keselamatan yang tinggi, pengurusan suhu yang baik, sambungan tanpa wayar, ringan, jangka hayat bateri yang lebih panjang menggunakan lithium-ion dan tahan lasak walaupun terjatuh atau terdedah dengan debu atau tumpahan air.
Menggunakan kerangka daripada magnesium, Toughbook bukan saja lebih ‘kebal’ malah lebih ringan berbanding komputer riba tahan lasak jenama lain yang ada di pasaran.
Mencatatkan rekod jualan dan populariti yang baik bagi pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom, Toughbook kini akan mula bergiat aktif menjelajah pasaran Asia khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan India.
Pengarah, Unit Perniagaan Sistem Terminal, ITPBD Panasonic, Hide Harada berkata, dijangkakan menjelang 2015, jumlah pengguna mudah alih akan mencecah 1.3 bilion atau 37 peratus daripada jumlah tenaga kerja.
“Malaysia antara negara yang mencatatkan perkembangan baik untuk segmen ini yang mana penggunaan telefon pintar dijangka meningkat ke 73 peratus menjelang akhir tahun ini berbanding 47 peratus pada tahun lalu.
“Penggunaan tablet juga akan meningkat 48 peratus daripada 14 peratus dan ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara sasaran kami untuk produk yang akan dilancarkan kelak,” katanya.
Menurutnya, Oktober nanti pihaknya akan melancarkan tablet tahan lasak, Toughpad JT-B1 bersaiz tujuh inci dengan sistem Android di Malaysia dan menjangkakan ia tidak hanya menarik perhatian industri sebaliknya pengguna individu.
“Kami juga akan bekerjasama dengan rakan strategik untuk membangunkan perisian atau aplikasi bersesuaian dengan keperluan pengguna, namun tidak berhasrat untuk menghasilkan perisian atau aplikasi sendiri kerana mahu memberi tumpuan kepada penghasilan produk yang berkualiti buat pengguna,” katanya.
Setakat ini, Panasonic sudah memperkenalkan dua Toughpad di pasaran iaitu FZ-A1 bersaiz 10 inci dengan sistem operasi Android dan FZ-G1 dengan sistem operasi Windows 8.
Untuk pasaran Malaysia, Panasonic melantik syarikat tempatan untuk mengendalikan pengguna Toughbook termasuk kerja diagnostik dan penyelenggaraan, namun jurutera Toughpad turut ditempatkan di Malaysia sekiranya berlaku sebarang masalah serius.
Meletakkan fokus untuk penggunaan perniagaan ke perniagaan (B2B), Toughbook dihasilkan bagi meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat dengan kos yang optimum dan bukan untuk kegunaan santai.
Penulis mengikuti pelancaran Panasonic Toughbook di Kobe, Jepun baru-baru ini














0 comments