Penyamun Tak Puas Hati
Published on Sunday, July 28, 2013
9:20 PM //
jenayah
Penyamun Tak Puas Hati
-
Tiga anggota polis meninjau sekitar kawasan pintu kedai stesen minyak yang telah dipecahkan penjenayah dalam kejadian samun awal pagi semalam.
RASA - Tidak cukup dengan nilai wang disamun, empat penjenayah lelaki yang memecah masuk sebuah stesen minyak di sini turut mengambil berpuluh kotak rokok berjenama dan beberapa botol arak.
Kejadian samun itu berlaku jam 2.17 pagi semalam dan hanya disedari pengawal keselamatan kira-kira jam 5.49 pagi selepas terdengar bunyi letupan kaca.
Pengawal keselamatan tersebut, Ahmad Gimo Afiagi, 50, bagaimanapun berkata, ketika dia terjaga, tiada kelibat sesiapa mahupun kenderaan penjenayah dilihat di kawasan itu lalu dia segera menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.
“Saya tidak sedar sedikitpun mengenai kejadian ini kerana tertidur selepas bersahur kira-kira jam 4.20 pagi. Saya terjaga sebab terdengar bunyi kaca pecah dan terus ke sini melihat pintu kedai telah pecah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Bagaimanapun, Sinar Harian merasakan sedikit kekeliruan daripada maklumat diberikan pengawal keselamatan tersebut.
Berdasarkan maklumat awal Ahmad Gimo, dia meninjau kawasan stesen minyak itu antara jam 12 tengah malam, jam 2 pagi dan kali terakhir sedar untuk bersahur jam 4.20 pagi sebelum tertidur.
Menurutnya, ketika melakukan tinjauan dia mengesahkan tiada sebarang kejadian berlaku.
“Saya tinjau kawasan stesen minyak tengah malam, masa itu saya belum tidur dan selalunya berbual-bual dengan pekerja stesen sampai jam 2 atau 3 pagi.
“Tadi (pagi semalam) saya tidak tidur dan hanya tertidur lepas makan sahur, kurang 10 minit jam 4.30 (4.20). Saya sedar antara jam 4.50 hingga jam 5 selepas terdengar bunyi kaca pecah lantas ke sini dan menghubungi polis,” katanya.
Bagaimanapun, warga Indonesia itu terkedu apabila mendapat tahu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian berlaku pada jam 2.17 pagi.
Ahmad Gimo berkata, dia kurang sedar ketika kejadian dan memberikan maklumat tanpa melihat jam seterusnya menegaskan sekali lagi waktu dia menyedari kejadian itu bukan jam 4.50 tetapi jam 5.49 berdasarkan paparan masa di telefon bimbitnya iaitu masa panggilan terakhir dibuat ke balai polis.
Ketika ditanyakan sekali lagi sama ada dia terdengar atau terlihat sebarang kejadian pada jam 2.17 pagi, Ahmad Gimo berkata, sememangnya tiada kejadian berlaku ketika itu sehingga terjaga pada jam 5.49 pagi.
Ketua Polis Balai Rasa, Sarjan Major Abu Hassan Majid turut turun ke lokasi kejadian dan beberapa anggota polis dilihat memasuki pejabat untuk melihat rakaman CCTV.
Difahamkan, tiga lelaki memecah masuk ke dalam kedai manakala seorang menunggu di belakang stesen minyak tersebut.
Jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang maklumat susulan diperoleh sehingga jam 6.30 petang semalam.
Sumber SInar Harian














0 comments